Ibadat haji merupakan
rukun Islam kelima. Dari segi sejarah, ibadah haji ialah syariat yang dibawa
oleh junjungan Nabi kita Muhammad S.A.W. sebagai membaharui dan menyambung
ajaran Nabi Allah Ibrahim A.S. Ibadat haji mula diwajibkan ke atas umat Islam
pada tahun ke-6 Hijrah, mengikut haul yang mashur iaitu dengan turunnya ayat 97
surah Al-Imran yang bermaksud :
" Dan Allah
Taala mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah
iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepada-Nya dan sesiapa yang kufur
dan ingkar kewajipan haji itu, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dan tidak
berhajatkan sesuatu pun daripada sekelian makhluk".
Pada tahun tersebut Rasulullah S.A.W. bersama-sama lebih kurang 1500 orang telah berangkat ke Makkah untuk menunaikan fardhu haji tetapi gagal mengerjakannya kerana telah dihalang oleh kaum Quraisy sehinggalah mewujudkan satu perjanjian yang dinamakan perjanjian Hudaibiah.
Perjanjian itu membuka jalan bagi perkembangan Islam di
mana pada tahun berikutnya ( Tahun ke-7 Hijrah ), Rasulullah telah mengerjakan
Umrah bersama-sama 2000 orang umat Islam.
Pada tahun ke-9 Hijrah barulah ibadat Haji dapat
dikerjakan di mana Rasulullah S.A.W. mengarahkan Saidina Abu Bakar Al-Siddiq
mengetuai 300 orang umat Islam mengerjakan haji.
Rasulullah S.A.W Menunaikan Haji
Nabi kita Muhammad S.A.W telah menunaikan fardhu haji
sekali sahaja semasa hayatnya. Haji itu dinamakan "Hijjatul Wada'/ Hijjatul Balagh/ Hijjatul Islam atau
Hijjatuttamam Wal Kamal kerana selepas haji itu tidak berapa lama
kemudian baginda pun wafat.
Rasulullah telah berangkat ke Madinatul Munawwarah pada
hari Sabtu, 25 Zulkaedah tahun 10 Hijrah bersama isteri dan sahabat-sahabatnya
seramai lebih 90,000 orang Islam. Rasulullah telah menyempurnakan amalan-amalan
sunat Ihram, memakai ihram dan berniat ihram di Zulhulaifah, sekarang dikenali
dengan nama Bir Ali, 10 km daripada Madinah dan Rasulullah sampai di Makkah
pada 04 Zulhijjah setelah mengambil masa 9 hari dalam perjalanan. Rasulullah
berangkat ke Mina pada 08 Zulhijjah dan bermalam di situ. Kemudian Rasulullah
ke Arafah untuk berwukuf pada 09 Zulhijjah yang jatuhnya pada hari Jumaat dan
merayakan hari raya Aidil Adha.
Rasulullah S.A.W telah menyempurnakan semua rukun dan
wajib haji hingga 13 Zulhijjah. Dan pada 14 Zulhijjah, Rasulullah S.A.W telah
berangkat meninggalkan Makkah Al-Mukarramah menuju balik ke Madinah
Al-Munawwarah.
PERISTIWA SEMASA HIJJATUL WADA
Di masa wukuf terdapat beberapa peristiwa penting yang
boleh dijadikan pegangan dan panduan umat Islam telah berlaku, di antara ialah
seperti berikut :
1. Rasulullah S.A.W minum susu di atas unta supaya
dilihat oleh orang ramai bahawa hari itu tiada puasa atau tidak sunat berpuasa
pada hari wukuf.
2. Seorang Sahabat jatuh dari binatang tunganggannya
lalu mati, Rasulullah S.A.W. menyuruh supaya mayat itu dikafankan dengan 2 kain
ihram dan tidak membenarkan kepalanya ditutup atau diwangikan jasad dan
kafannya. Sabda Baginda pada ketika itu bahawa " Sahabat itu akan
dibangkitkan pada hari kiamat di dalam keadaan berihram dan bertalbiah".
3. Rasulullah S.A.W. menjawab soalan seorang ahli Najdi
yang bertanyakan " Apakah itu Haji ?". Sabdanya yang bermaksud "
Haji itu berhenti di Arafah". Siapa tiba di Arafah sebelum naik fajar 10
Zulhijjah maka ia telah melaksanakan haji.
4. Turunnya ayat suci Al-Quranul Karim surah Al-Maidah
yang bermaksud :
" Pada hari ini
aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan aku telah cukupkan nikmatku ke
atas kamu dan aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kami"
Daripada sejarah dan
peristiwa ringkas itu cubalah kita teliti betapa Rasulullah S.A.W telah
menyempurnakan haji dengan pengorbanan Baginda bersama sahabat-sahabat yang
berjalan dari Madinah Al-Munawwarah ke Makkah Al-Mukarramah selama 9 hari
berbanding pada hari ini yang mana jemaah haji dari Malaysia boleh sampai ke
Tanah Suci kurang daripada 9 jam dengan menaiki kapal terbang. Ini perkara yang
perlu kita direnungkan apabila kita menghadapi sebarang kesusahan di tanah
Suci.
0 komentar:
Post a Comment
"Komentar anda sangat bermanfaat untuk perkembangan blog ini. Jangan lupa adab berkomentar, dan jangan buang waktu untuk spam. Terima Kasih!!!."